Pendekatan Praxis dan Politik PAS: Siapa Kena Laga?
Teman saya mengutus sms malam-malam buta. Mursyidul Am 'pukul' Cikgu Mustafa Ali. Esok siang dia menghantar mesej lain, 'Kasihan Lutfi tersepit', katanya.
Seorang teman lain, pulang berehat dari Australia menghantar sms: 'PAS sudah ada tiga kelompok. 16 wajib, 16 harus, 16 haram. Kawan kita kata wajib ikut tok guru, aku berpegang kepada harus, dan engkau kata haram.'
Dan saya yang terganggu dengan sms tersebut, mencari-cari di mana saya meletakkan buku 'Skepticism and Political Participation' (1990) oleh Aryeh Botwinick.
Orang PAS, (yang dulu adalah sebuah gerakan Islam pertama, parti politik kedua) selalu memandang ringan falsafah Barat.
Selalu memandang ringan perkembangan politik antarabangsa. Orang PAS tidak merasakan kalau CIA boleh campur tangan dalam orange revolution di Ukraine, atau menaja Presiden Mikheil Saakashvili (kalau orang PAS tidak tahu, dia Presiden Georgia), atau menyerang Nicaragua untuk menangkap Noriega, mereka, yakni orang PAS tidak merasakan pun yang CIA boleh menyusup masuk dalam parti mereka. Manalah ada Melayu Zionis kan?
Orang PAS akan membaca Harakah dan Siasah dengan penuh ghairah halaman-halaman yang membantai UMNO, atau bahagian-bahagian yang memuja 'orang itu'. Bila tiba halaman atau kolum Haris Zalkapli membicarakan pengaruh Biden (calon VP Demokrat) yang pro Zionis terhadap Obama, orang PAS akan tinggalkan. Jadi orang PAS tidak tahu yang Biden sayang siapa di Malaysia. Mungkin kerana pengaruh jalur pemikiran tertentu, yakni wahabi, pemimpin PAS merasakan falsafah itu sampah.
Oleh kerana tidak mahir hal-hal kompleks ini, dan lebih suka menumpukan budaya politik kampung setempat, PAS tidak reti dan hilang pendekatan bila terpaksa berdepan dengan kumpulan dokongan Barat yang membaham dengan lapar, rakus dan penuh berahinya maruah gerakan Islam ini - sehingga masing-masing tergila-gila ingin menjadikannya parti politik pertama, gerakan Islam kedua.
Mungkin juga kerana ulama, tok guru dan agamawan dalam PAS semasa mengaji di institusi pengajian dahulu tidak didedahkan dengan segala macam falsafah khusus post-modern yang digilai-gilai oleh sekian ramai tokoh dalam Pakatan Rakyat. Akibatnya mereka jadi longo, jadi bodoh, jadi macam haiwan ternak kena kerkah dengan binatang buas. Kemudian, yang kita menyampah sangat ialah bila mereka akan jadi pura-pura baik husnu dzan, lalu terlupa halaman-halaman politik antarabangsa bahawa Zionis, CIA dan segala macam hantu kejahatan boleh menyerap masuk dan berpura-pura menjadi orator madani penyayang Hamka.
Orang PAS tidak belajar-belajar bahawa betapa banyak gerakan Islam yang hampir menang tetapi kemenangannya dicuri, dirompak dan dihijack oleh sebuah (mungkin lebih) kumpulan tajaan Barat. Dalam usrah (kalau masih ada) orang PAS membaca buku-buku Hassan al Banna sahaja dan melupakan buku Hassan Hanafi. Mereka membaca banyak buku as Syahid Sayyid Qutb tetapi tidak mahu membaca buku-buku as-Syahid Mutahari yang mungkin pendekatan as-syahid lebih kemasyarakatan sifatnya. Mereka tidak membaca Jacques Derrida. Tidak membaca karya-karya profound pengarang anti agama. Kerana mereka lebih suka membaca yang muluk-muluk tentang diri sendiri.
Orang PAS ingat politik macam zaman P.Ramlee lagi. Orang PAS tidak reti politik sudah memasuki era Yasmin Ahmad dengan Mualaf. Orang PAS tidak ada kemampuan berdepan dengan gerak kerja dan gelek-gele ijok syeikh-syeikh tajaan Barat. Tidak ada kemampuan. Malah bila digempur, mereka nyanyuk terus. Mereka menggelepar meluku-luku sesama sendiri.
Jadi, selama-lamanya gerakan Islam jadi keldai tunggangan.
Kita tidak menafikan tok-tok guru ini pandai agama, Tuhan pun boleh jadi gedebe di tangan mereka dengan cara takwil, tafsir, dan cara pandang yang dikeluarkan dari kitab usul. Tetapi tok-tok guru ini memang tidak tahu dan terperok bila kena luku dan lutu dengan aksi adu domba ala CIA, aksi adu-domba ala Zionis.
Aryeh Botwinick dalam Skepticism and Political Participation (1990) menyebut tentang praxis yang digunakan dalam politik. Ia digunakan oleh ahli politik licik untuk menelan ahli politik yang lembab.
Praxis memang satu pendekatan seni. Dan jangan lupa, politik itu jugakan seni. Ia seni serba mungkin. Seni yang memungkinkan etika jadi budu. Sebagai contoh seni yang memungkinkan orang lompat parti dan diberi alasan moral yang kuat untuk itu. Ahli teori tradisi praxis seperti James Farganis, menekankan 'how humans are versatile in different situations, and how humans can change forms of action quickly and unpredictably'.
Justeru, kata Farganis dalam Readings in Social Theory: The Classic Tradition to Post-Modernism, tidak syak lagi ada individu yang dapat menyembunyikan kepentingan diri dengan alasan kepentingan besar (baca: negara) kerana praxis mengajarkan 'calculating and orienting action' dapat dijadikan agenda 'own self-interest who seem to be the least human'.
Saya menyuguhkan pendekatan praxis dengan hati-hati dalam bahasa teater politik saya baru-baru ini. Ia teater politik. Ia teater mengenai seorang tokoh politik iaitu Sultan Alauddin yang jujur, alim dan banyak bersangka baik terkorban di tangan isteri yang dipercayainya. Isterinya, Tun Senaja yang lebih liberal dan menggunakan bahasa-bahasa pujukan politik ala praxis.
Kerana itu ada penonton merasa terganggu dengan banyaknya 'bahasa politik' yang terang dan yang kabur dalam Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun. Contohnya seorang penonton menulis:
Menonton teater ini, saya sedikit ‘terganggu’ dengan babak/dialog yang kerap menyinggul keadaan politik tanah air biarpun ada antaranya yang releven. Bahkan, saya jadi ‘kurang selesa’ apabila ketika asyik memerhati dan mendengar dialog-dialog yang bernas berisi tetapi dalam masa yang sama terganggu dengan kehadiran watak yang membawa kelucuan. Antara serius mendengar dan berfikir tetapi dalam masa yang sama ada sesuatu yang mencuit hati menjadi ‘gangguan’ terhadap tumpuan, nyata sekali merimaskan dan apa yang saya fikirkan sebentar tadi entah melayang ke mana-mana. (Klik Sini)
Itulah tujuan praxis, untuk menghalakan tumpuan kita yang sebenar kepada benda lain. Jadi, penonton tidak lagi menumpukan sesuatu yang maha penting tetapi terleka oleh selingan gangguan. Penonton semacam terkacau oleh gedik juru busana menjerit-jeritkan, 'skandal, skandal, skandal' atau terkacau oleh Maya yang meliuk-lentuk. Sedangkan itu semua praxis, itu semua politik, itu semua penipuan.
Apa yang menyebabkan penonton di atas terganggu sangat relevan dalam iklim politik sekarang. Keamanan kita sedang diganggu. Ada body gesture, ada permainan helah,dan kata-kata ucapan yang tidak boleh dipercayai. Ada pujuk, hasut dan nasihat yang menyalakan api sehingga dua tokoh gerakan Islam dapat bergaduh secara publik sehingga mengelirukan ahli. Dalam pada kita melihat mereka bergaduh (perhatian yang telah terganggu) kita pun terlupa ada musuh sedang merodok kita dari pintu belakang.
Praxis musuh gerakan Islam telah berjaya. Adu-domba telah berhasil. Di peringkat tempatan, dua kumpulan yang asalnya ikhlas mahu menegakkan Islam telah dilagakan. Ya, kalau kalian fahami praxis dan segala falsafah Barat yang kalian karutkan itu kalian akan nampak. Kalian karutkan kerana malas belajar. Musuh batil yang tersusun pun kekenyangan mengalahkan haq yang tidak tersusun. Di peringkat global, gerak kerja praxis Barat ini turut melagakan sunni-syiah dan menjejaskan perpaduan ummah.
Untuk aman kembali, PAS mesti cari tukang laga dan ajar mereka. 'Hukum kebenaran 16' hanya ada satu. Tidak ada tiga.
Jadi saya pun membalas sms, 'Hukum sesuatu kebenaran itu tunggal. Jika kebenaran itu boleh jadi wajib, boleh jadi harus, boleh jadi haram; maka jika kebenaran itu boleh jadi apa sahaja, boleh jadi berbilang-bilang maka apa nasib ummah? Teman, kembali kepada premis tauhid!'
* Foto Dr Abu Hassan Hasbullah dan Rudy Bluehikari dari blog Khairun Nasriah.
sumber - Faisal Tehrani
0 comments:
Post a Comment